Thursday, December 31, 2020

COVID-19 PEMBARAH KESIHATAN MENTAL

 




Covid-19 pembarah kesihatan mental merupakan program yang dianjurkan oleh Majlis Ehwal Pelajar (MEP) Kolej Aminuddin Baki (KAB). Panel jemputan bagi webinar ini ialah Dr. Hilwa binti Abdullah dan Encik Shaiful Bakri Bin Mohammad (kaunselor di unit kaunseling hal ehwal pelajar). Webinar ini dibahagikan kepada tiga sesi. Sesi pertama ialah kaitan kesan pelaksanaan pkp dengan pengurusan emosi dan mental mahasiswa.           

            Menurut dr hilwa, pkp ini telah dijalankan dalam tempoh yang sangat lama. Disebabkan hal ini sedikit sebanyak telah memberi kesan yang mendalam terhadap mental dan emosi mahasiswa. Persoalannya, apakah itu kesihatan mental? Kesihatan mental ialah keadaan kesejahteraan seseorang individu. Sekiranya kita mempunyai kesihatan mental yang baik, kita akan dapat melakukan pekerjaan dengan produktif. Bagi encik shaiful pula, pkp ini telah mengubah cara hidup seseorang atau lebih dikenali sebagai norma baharu. Dalam proses menyesuaikan diri dengan norma baharu inilah merupakan saat-saat dimana kesihatan mental seseorang itu terganggu. Untuk melihat prestasi kesihatan mental kita, kita perlu muhasabah diri kita. Kita perlu lihat dalam tempoh pkp ini, bagaimana cara kita berfungsi.

            Apakah perbezaan di antara kesihatan mental dan penyakit mental? Dr hilwa menerangkan perbezaan antara kedua-dua ini ialah penyakit mental bermaksud apabila seseorang itu mengalami gangguan mental dari segi perasaan, pemikiran, emosi dan tingkah laku yang menyebabkan kita bertingkah laku luar norma yang diterima oleh masyarakat. Jadi, kita sebagai seorang sahabat yang baik mestilah ambil tahu tentang rakan kita atau menjadi lebih prihatin terhadap rakan kita. Sebelum webinar ini dilakukan questionnaire telah diedarkan. Berdasarkan analisis tersebut, kaum wanita lebih cenderung untuk mempunyai gangguan mental. Persoalannya, adakah kaum wanita itu memang secara semula jadinya lebih cenderung untuk mempunyai gangguan emosi berbanding dengan kaum lelaki. Menurut encik shaiful, gangguan emosi ini tidak cenderung terhadap sesuatu jantina sahaja. Gangguan emosi ini bergantung kepada pengalaman individu itu sendiri.

            Antara punca tekanan terhadap pelajar sewaktu PKP adalah persekitaran yang tidak kondusif, tidak mempunyai pencapaian internet dan pengurusan diri yang tidak baik. Menurut Dr Hilwa, sosial media menyumbang sangat besar dalam kecenderungan remaja terhadap kemurungan. Sesi kedua ini menerangkan cara-cara pelajar untuk menyesuaikan diri dalam sistem belajar atas talian. Encik Shaiful menyatakan sebagai seorang pelajar, kita mesti menerima situasi yang berlaku ini dengan hati yang terbuka. Kita mesti ambil sesuatu isu daripada sudut yang positif. Cara kedua ialah mengetahui isu-isu yang akan timbul. Sebagai contoh isu capaian internet. Jadi pelajar ini akan cuba untuk mengatasi masalah ini agar sebarang gangguan emosi dapat dielakkan. Ketiga ialah peranti elektronik. Keempat ialah tempat yang kondusif. Pelajar perlu rancang sesuatu untuk atasi masalah tempat yang tidak kondusif. Kelima ialah jadual. Pelajar wajib ada jadual supaya pelajar akan menjadi lebih bertanggungjawab dan akan lebih teratur. Dengan adanya jadual juga akan mengelakkan kita daripada melakukan kerja di akhir waktu. Ketujuh ialah persediaan awal sebelum kelas. Pelajar boleh belajar dahulu sebelum kelas berlangsung.

            Adakah serangan panik ini berkait dengan penyakit mental? Serangan panik ini merupakan salah satu cabang kecelaruan kebimbangan. Antara simptom serangan panik ini ialah berpeluh yang sangat kuat dan degupan jantung semakin laju. Setiap kecelaruan ini mempunyai simptom yang tersendiri. Dr hilwa juga memberi pesanan kita agar tidak terlalu bergantung kepada internet untuk mengetahui situasi kita kerana hal ini akan lebih memberi pelajar kebimbangan tentang diri mereka. Pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) telah mengambil inisiatif bagi membantu mahasiswa terutamanya yang memerlukan bimbangan kaunseling menerusi platform atas talian seperti tiktok dan telegram. Encik Shaiful memberi pesanan kepada pelajar dimana mendapat pertolongan bukanlah bererti anda lemah. Pusat kajian psikologi juga menawarkan servis psikologi kepada pelajar-pelajar UKM. Servis ini ditawarkan kepada pelajar-pelajar secara percuma. Hal ini menunjukkan UKM sangat prihatin terhadap kesihatan mental pelajar-pelajar. Dr Hilwa menyatakan kemurungan ini boleh terkena kepada sesiapa sahaja. Kemurungan ini tidak mengenal siapa kita.

            Menurut Encik Shaiful, cara untuk atasi keinginan untuk cederakan diri adalah secara tersebut. Langkah pertama ialah mengenalpasti sama ada keinginan ini berlarutan. Kedua ialah dengan cara berkongsi tentang masalah yang kita hadapi. Terdapat banyak platform yang disediakan untuk berkongsi. Ubah stigma dimana merasakan berkongsi masalah itu sangat tidak macho. Ketiga ialah dengan memenuhkan diri kita dengan aktiviti-aktiviti lain seperti bersukan dan sebagainya. Keempat ialah dengan elak untuk bersendirian kerana bersendirian ini lebih cenderung untuk berfikir secara berlebihan. Bagi pihak ketiga pula, antara cara untuk kita menolong kawan kita yang mempunyai keinginan mencederakan diri ini dengan lebih mengambil berat dengan rakan mereka.

            Kesimpulan bagi program ini, Covid-19 ini memberi kesan sedikit sebanyak terhadap kesihatan mental pelajar-pelajar. Kita sebagai pelajar perlu mencari alternatif untuk menangani masalah-masalah kesihatan mental ini. Pada pendapat saya, webinar mengenai isu-isu kesihatan mental ini sangat penting dan perlu dititik beratkan kerana isu ini sudah tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat. Saya percaya ada dalam kalangan kenalan kita yang mempunyai masalah-masalah mental ini. Jadi, program seperti ini banyak membantu mangsa malah kita sebagai rakan untuk sama-sama menyelamatkan mereka yang memerlukan.


No comments:

Post a Comment

Tempajan Baju Coway

   Pada awal tahun 2021, kami di Qimprinting telah menerima tempahan baju dari kumpulan pekerja coway. Katanya baju ini hendak di pakai untu...